Friday 4 October 2013

Perhilitan Tangkap Harimau kumbang


KUALA PILAH – Seekor harimau kumbang yang dipercayai menyerang 11 ekor kambing di Kampung Parit Mungkal, Tanjong Ipoh, dekat sini beberapa hari lalu, berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), awal pagi semalam.

Kejadian berkenaan disedari penduduk kampung, Mohd Bakhtiar Nong Singah, 32, sewaktu memeriksa kandang tersebut pada pukul 7 pagi selepas beberapa hari kandang itu dipasang bersama umpan kambing hidup.

Menurut Mohd Baktiar, terkejut dengan penemuan haiwan yang dianggarkan seberat 40-50 kilogram itu, dia memanggil bapanya, Nong Singah Siwok, 70, untuk mendapat kepastian

“Sebelum itu, abang saya, Mohd Ismail, 38, ada terdengar bunyi seperti pintu besi tertutup jam 10.05 malam kelmarin.

Dia ingatkan babi hutan menyondol sesuatu dan berhasrat untuk melihat sangkar itu keesokan paginya.

"Namun ketika saya pergi melihat sangkar itu pagi tadi (semalam), saya terkejut apabila melihat seekor harimau kumbang berwarna hitam terperangkap di dalamnya," katanya ketika ditemui, semalam.

Tambah Mohd Baktiar, dia segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Jempol apabila melihat haiwan liar itu bertindak agresif dalam perangkap tersebut.

Sementara itu, Nong Singah, memberitahu, perangkap itu diletakkan di belakang rumah tinggal dan diumpan dengan seekor bangkai kambing pada 30 September lalu.

“Keesokannya, bangkai kambing biri-biri telah hilang. Maka, kami mengikat semula umpan anak kambing hidup dan akhirnya harimau kumbang itu terperangkap” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Seberang, Samsuddin Zainal, 75, melahirkan rasa syukur dan lega kerana usaha memasang perangkap umpan berjaya memerangkap haiwan berkenaan.

“Lega akhirnya haiwan itu berjaya ditangkap. Namun saya percaya, masih ada lagi habitatnya yang berkeliaran di dalam hutan berdekatan dan diharapkan pihak Perhilitan dapat memasang perangkap ini semula,” katanya.

Sementara itu, Adun Pilah, Datuk Norhayati Omar mengucapkan terima kasih kepada Perhilitan kerana memasang perangkap sekali gus berjaya menangkap haiwan berkenaan.

Sumber: SinarHarian
 
;