Tuesday 22 April 2014

Polis memang serius tangani penyeludupan hidupan liar



KUALA LUMPUR: Keseriusan polis dalam menangani kegiatan penyeludupan terutama penyeludupan dan perniagaan haiwan liar yang terancam tidak harus dipandang ringan oleh masyarakat.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Datuk Ayub Yaakob berkata penguatkuasaan dilakukan secara besar-besaran itu adalah kerana untuk mengelakkan Malaysia dijadikan hab bagi kegiatan tersebut.

“Risikan dan maklumat yang kita perolehi dari pelbagai pihak baik dalam atau luar negara mendapati negara ini kini dijadikan sebagai pusat bagi kegiatan penyeludupan dan perniagaan hidupan liar terutama dari sepsis yang terancam dan dilindungi,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Seminar ‘Save The Nature’ di Maktab Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Tambah beliau lagi, hidupan liar yang diseludup itu kebanyakkan adalah khazanah yang bernilai dari luar negara seperti gading gajah dan pihak penyeludup menggunakkan negara ini sebagai pusat untuk meraih keuntungan serta menjayakan agenda-agenda tertentu mereka.

“Malah, terdapat juga usaha yang tidak bertanggungjawab pihak-pihak ini menyeludup haiwan-haiwan eksotik, terancam atau dilindungi seperti tenggiling dan hidupan liar yang lain dan ini sekaligus menyebabkan populasi haiwan ini terancam,”.

Malah, tumbuh-tumbuhan flora yang unik dan eksotik di negara turut sama terancam.

“Kita tidak mahu perkara ini terus berlaku dan dalam masa yang sama juga kita terpanggil untuk bertanggungjawab bersama melindungi khazanah hidupan liar di dalam negara ini disamping melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bersepadu berama agensi-agensi dan jabatan yang terlibat bagi membanteras jenayah alam sekitar daripada berterusan,”.

Pada tahun 2010, Mahkamah Tinggi pernah memerintahkan seorang ahli perniagaan, Anson Wong Keng Liang, 52 menjalani hukuman penjara enam bulan dan membayar denda sebanyak RM190,000 atau penjara 12 bulan atas tuduhan mengeksport ular dari spesis Boa Constrictor iaitu spesis haiwan berjadual dalam Lampiran Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai spesis terancam.

Kesalahan tersebut dilakukan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) selepas ular-ular tersebut ditemui dalam bagasi milik Anson ketika dia dalam transit perjalanan dari Pulau Pinang ke Jakarta.

Akta itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 bagi setiap ekor binatang yang disenaraikan dalam jadual atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: astroawani.com
 
;