Saturday 12 April 2014

Peneroka cedera diserang beruang

Sulaiman Jusoh menerima rawatan di Bilik Kecemasan, Hospital Besut, Terengganu akibat diserang oleh beruang, semalam. Sumber : utusan.com.my

BESUT 12 April - Seorang peneroka nyaris maut dibaham seekor beruang sewaktu sedang mencari buah kerdas di kawasan hutan berdekatan ladang kelapa sawit di Felda Tenang, dekat sini hari ini.

Akibat serangan haiwan liar itu, mang­sa, Sulaiman Jusof, 58, patah tulang muka selain luka teruk di bahagian kepala sebelah kiri. Menurut isteri mangsa, Rokiah Abas, 50, sebelum kejadian, dia sedang menoreh getah di kawasan berdekatan manakala suaminya ke kawasan hutan berkenaan dengan menunggang motosikal seorang diri, kira-kira pukul 8 pagi.

Bagaimanapun katanya, kira-kira pukul 9.30 pagi, dia menerima panggilan telefon daripada suaminya yang memaklumkan mengalami kecederaan akibat diserang seekor beruang. “Suami menggagahkan diri menunggang motosikal sejauh kira-kira lima kilometer untuk pulang ke rumah.

“Setelah mengetahui kejadian itu, saya bergegas pulang dan sejurus tiba di rumah, saya dapati suami rebah di depan tangga dengan kepalanya luka dan berdarah," katanya di sini hari ini. Rokiah berkata, suaminya dikejarkan ke Hospital Besut (HB) dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa sering ke kawasan hutan tersebut berseorangan untuk mencari buah kerdas sebelum terserempak dengan haiwan berkenaan yang mempunyai dua ekor anak. Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Yusoff Shariff berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut. “Kita akan pasang perangkap di kawasan itu untuk menangkap beruang terbabit," tambahnya.

Sumber: utusan.com.my
 
;