Monday 14 April 2014

Jauhi hutan simpan lokasi serangan beruang



KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menasihati orang ramai agar menjauhi kawasan hutan simpan yang menjadi lokasi serangan beruang baru-baru ini.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, sejak bulan lalu, pihaknya menerima dua laporan serangan beruang membabitkan Hutan Simpan Kekal Merchang, Marang dan Gunung Tebu di Besut.

"Di Marang, kita telah memasang dua unit perangkap untuk menangkap beruang tersebut namun sehingga kini masih belum berhasil.

"Penduduk memaklumkan sejak kejadian serangan itu, mereka tidak nampak lagi kelibat beruang... mungkin sudah kembali ke habitat asalnya di Hutan Simpan Merchang itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian 30 Mac lalu, Asmani Yahya, 60, cedera parah diserang haiwan itu ketika sedang menoreh getah bersama suaminya di Kampung Alur Ketitir dekat Marang.

Akibat kejadian itu, mangsa yang diselamatkan suaminya menerima 30 jahitan di kepala, leher dan paha.

Dalam kejadian terbaharu Sabtu lepas, Mohd Sulaiman Jusof, 58, peneroka di Felda Tenang, Hulu Besut, menerima 22 jahitan selepas diserang seekor beruang ketika mencari ulam kerdas di Hutan Simpan Kekal Gunung Tebu.

Mengulas kes serangan itu, Yusoff berkata, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh Perhilitan memandangkan lokasi serangan ialah dalam kawasan hutan simpan kekal. - Bernama

Sumber: kosmo.com.my

 
;