Monday 22 September 2014

Bangkai harimau kumbang cuba diseludupkan ke negara jiran


TANAH MERAH - Bangkai seekor harimau kumbang dipercayai cuba diseludupkan ke negara jiran dirampas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan di Kampung Kedondong, Bunut Susu, Pasir Mas, awal pagi, semalam.

Pemangku Komander UPP negeri, Wan Zakaria Hamzah berkata, bangkai haiwan itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah van oleh sepasukan anggota UPP yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu, jam 2 pagi.

Katanya, bangkai harimau kumbang atau nama saintifiknya Panthera Pardus itu ditemui dengan beberapa kesan tembakan dan tanpa isi perut di bahagian belakang van jenis Ford terbabit.

“Pasukan peronda UPP sebelum itu mengesan sebuah van Ford dari arah Tanah Merah dalam keadaan mencurigakan, lalu mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan. Pemandu dianggarkan berusia 35 hingga 45 tahun berjaya melarikan diri dan hasil pemeriksaan menemui bangkai seekor harimau kumbang di bahagian belakang van,” katanya pada sidang media di Pejabat UPP Bukit Bunga, semalam.

Menurut Wan Zakaria, pemeriksaan lanjut menemui sembilan kesan tembakan pada bangkai itu, manakala organ dalaman haiwan terbabit sudah dikeluarkan dipercayai bagi mengelakkan daging busuk atau rosak.

Katanya, haiwan dianggarkan seberat 100 kilogram itu dipercayai diperolehi sekitar Tanah Merah atau Jeli sebelum diseludupkan ke negara jiran melalui pangkalan haram di sekitar Tumpat.

“Daging spesies terancam ini mempunyai nilai mencecah RM100,000 seekor di pasaran gelap dan diseludupkan ke negara jiran bagi tujuan perubatan atau hidangan eksotik,” katanya.

Tambahnya, haiwan itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 68 (2)(c) Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010.

“Pesalah yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebihi lima tahun,” kata Wan Zakaria.

Sumber: sinarharian.com.my
 
;