Saturday 20 September 2014

Perhilitan rampas 513 murai batu


JOHOR BAHRU 20 Sept. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri bersama Unit Pengawalan Hidupan Liar (WCU) berjaya menggagalkan penyeludupan terbesar melibatkan 513 ekor burung murai batu di KM1, Jalan Mersing-Endau, dekat sini kelmarin.

Pengarah Perhilitan negeri, Hasnan Yusop berkata, dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Waja mendapati kesemua burung murai batu tersebut diletakkan dalam 43 bakul plastik berwarna hitam di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

"Bertindak atas maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan, kami menahan sebuah kereta yang digunakan untuk menyeludup. Kami juga turut menahan dua orang suspek bagi membantu siasatan.

"Ini merupakan tangkapan kes yang ketiga melibatkan sindiket penyeludupan burung murai batu hidup oleh Jabatan Perhilitan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini semalam.

Hasnan memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 40 ekor burung spesies yang sama di Johor Bahru dan 241 ekor lagi di Kluang.

"Jabatan Perhilitan sangat serius dalam mengambil tindakan bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah melibatkan hidupan liar dan akan terus mempergiatkan usaha-usaha untuk membanteras kes-kes hidupan liar ini.

"Orang ramai juga diminta untuk menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan pihak jabatan bagi membanteras jenayah penyeludupan ini," katanya.


Sumber: utusan.com.my
 
;