Tuesday 6 May 2014

Perhilitan tembak kera liar cederakan bayi


KEMAMAN - Seekor kera liar yang dipercayai mencederakan seorang bayi di Kampung Gelugor di sini 26 April lalu ditembak petang semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Yusoff Shariff berkata selepas seminggu diburu kera jantan itu mati selepas ditembak semasa berkeliaran di atas pokok bersama dua ekor kera lain kira-kira 500 meter dari rumah mangsa 6 petang semalam.

Yusoff berkata pihaknya yakin kera yang dilupuskan itu terbabit mendatangkan kecederaan kepada bayi berkenaan berdasarkan luka yang dialami bayi itu.

"Kita telah melupuskan seekor binatang liar itu dan kita masih memburu dua ekor lagi binatang itu dengan memasang perangkap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Najwa Muhammad, 21, melahirkan rasa lega dengan tindakan Perhilitan yang dapat melupuskan haiwan terbabit dalam tempoh seminggu selepas memasang perangkap di belakang rumahnya pada 29 April lalu.

Dalam kejadian itu, Nor Iman Adriana Zuhairi, tiga bulan, menerima 14 jahitan di muka akibat diserang sekumpulan kera semasa sedang tidur di dalam buaian. 

Sumber: Bernama
 
;